TH Travel Tawar Pakej Pelancongan Ke Eropah

MEKAH: TH Travel & Services Sdn Bhd (THTS) mempelbagaikan perkhidmatannya dengan memperkenalkan pakej pelancongan ke destinasi popular sebagai salah satu strategi perniagaannya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khalid Noordin berkata antara pakej yang ditawarkan adalah melawat negara Eropah Timur termasuk menyaksikan sinaran aurora di Iceland.

Menurutnya, pakej itu akan diperkenalkan pada musim cuti persekolahan antara November hingga 31 Disember tahun ini.

Ia menyediakan pengalaman baharu kepada pelancong yang inginkan kelainan ketika melawat negara di Eropah.

Khalid ditemui pemberita Malaysia yang mengikuti lawatan melihat persediaan Tabung Haji bagi operasi musim haji 2016.

Mengenai pakej umrah yang disediakan, THTS juga menaik taraf pakej umrah dan haji dengan memperkenalkan beberapa destinasi baharu yang dikenali sebagai Pakej Umrah Plus.

Menerusi pakej itu, pelanggan bukan sahaja dapat mengerjakan ibadah di Mekah dan Madinah tetapi juga dibawa melawat ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Dubai dan Turki.

Sementara itu, THTS juga merancang mewujudkan pakej baharu khusus kepada peminat bola sepak Liga Perdana Inggeris.

Menerusi pakej itu, pelancong akan dibawa melawat stadium kelab terkemuka termasuk menonton perlawanan bola sepak.


Artikel Oleh : Nazam Yussof

Sumber : Astro Awani

Tarikh : 23 Jun 2016

Tawaran & Diskaun
Sila gunakan pelayar Google Chrome untuk paparan laman sesawang yang lebih baik.