TH Travel Tawar Pakej Pelancongan Ke Eropah Timur

MAKKAH: TH Travel & Services Sdn Bhd kini meneroka peluang baharu dengan menawarkan pakej pelancongan ke destinasi popular di negara Eropah Timur.

Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Khalid Noordin, berkata pakej yang diperkenalkan untuk musim cuti persekolahan dari November hingga 31 Disember tahun ini, menjanjikan percutian menarik.

Dalam pakej ini, aspek kerohanian kekal menjadi teras utama kerana ia adalah teras utama perniagaan syarikatnya kepada umat Islam di Malaysia.

"Oleh itu kami tetap menekankan soal makanan halal dan solat," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohd Khalid berkata, pihaknya juga menaik taraf pakej umrah dan haji dengan memperkenalkan beberapa destinasi baharu yang dikenali sebagai pakej umrah plus.

Katanya menerusi pakej itu, pelanggan bukan sahaja dapat menunaikan ibadah di Makkah dan Madinah, bahkan turut dibawa melawat Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, selain lawatan ke Dubai dan Turki.

Dalam memberikan khidmat terbaik, beliau berkata TH Travel & Services juga menyewa pesawat jenis A380 milik Malaysia Airlines Berhad sebagai nilai tambah kepada para pelanggan.

Sebelum ini, syarikat itu menyewa pesawat Boeing 777 untuk pakej itu.

Beliau menjangkakan syarikat itu akan membuat 51 tempahan penerbangan tahun ini.

Pakej Umrah menjadi teras perniagaan syarikat itu berikutan permintaan tinggi, dan menurut laporan Saudi Press Agency baru-baru ini, hingga Selasa lalu seramai 5.8 juta jemaah berada di Tanah Suci Makkah untuk menunaikan Umrah di bulan Ramadan.

Dalam perkembangan lain beliau berkata pihaknya merancang memperkenalkan pakej baharu khusus untuk peminat bola sepak Liga Perdana Inggeris dengan menawarkan pakej lawatan ke kelab-kelab terkemuka pilihan mereka.


Artikel Oleh : Bernama

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/bisnes/th-travel-tawar-pakej-melancong-ke-eropah-timur-1.535410

Tarikh : 23 Jun 2016

Tawaran & Diskaun
Sila gunakan pelayar Google Chrome untuk paparan laman sesawang yang lebih baik.