TH Travel Bakal Perkenal Pakej Ekonomi

KAUNTER perkhidmatan TH Travel boleh didapati di seluruh negara.

Mohd. Shah Che Ahmad

26 Disember 2017 4:00 PM

MUKADIMAH

DILIHAT sebagai agensi pengendali umrah, haji dan pelancongan bertaraf premium, ada beranggapan Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd (TH Travel) adalah bersifat eksklusif kepada golongan atasan atau berpendapatan tinggi.

Ini kerana, TH Travel yang merupakan satu daripada syarikat dalam kumpulan Tabung Haji, sebagaimana diketahui umum hanya menyediakan penginapan dan kemudahan bertaraf empat serta lima bintang dalam setiap pakej ditawarkan terutama bagi perkhidmatan umrah dan haji.

Namun, 2018 menyaksikan hala tuju baharu bagi TH Travel dengan menyasarkan unjuran lebih besar. Ia adalah menerusi strategi memperkenal pakej ekonomi yang disifatkan mampu beli bagi semua lapisan masyarakat. Dalam masa yang sama memberikan kemudahan perkhidmatan hampir sama berbanding pakej sedia ada.

Berikut temu bual Mega Mimbar Utusan Malaysia bersama Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel, Datuk Mohd. Khalid Mohd. Noordin dalam membawa hala tuju agensi itu pada 2018.

MEGA MIMBAR: Dalam menghadapi persaingan pelbagai agensi umrah lain, apakah strategi TH Travel untuk terus berdaya saing?

Mohd. Khalid: Kita akan memperkenal beberapa pakej yang lebih murah, kompetitif dan bersifat mampu beli bagi membolehkan setiap lapisan masyarakat boleh mengerjakan umrah dan haji. Walaupun dikategorikan sebagai Pakej Ekonomi, namun kualiti perkhidmatan tetap sama seperti sebelum ini, termasuk kemudahan asas seperti hotel, sajian makan minum, pengangkutan dan bimbingan ibadah.

Bagi pakej umrah, harga terendah setakat ini adalah Pakej Fairuz iaitu antara RM5,798 hingga RM6,590, namun menerusi pakej baharu yang diperkenal dalam kategori sama, harganya diturunkan sekitar RM5,300 hingga RM5,500 sahaja. Lingkungan harga pakej ini dikira cukup murah dan mampu oleh setiap lapisan peringkat umat Islam negara ini.

Begitu juga dengan pakej haji, pengurusan kami sedang merangka pelan perancangan untuk mengadakan pakej haji lebih murah dan boleh dipilih oleh jemaah haji daripada pelbagai peringkat. Bagi tujuan ini, rundingan dengan pihak hotel dan operator di Tanah Suci bakal diadakan dalam masa terdekat.

Tidak hanya tertumpu kepada umrah dan haji, TH Travel juga menawarkan pakej pelancongan. Pada 2018, kita bakal memperkenal pelbagai lokasi dan destinasi pelancongan baharu di beberapa negara tertentu yang jarang dilawati tetapi menyimpan khazanah tersendiri untuk diterokai seperti Sepanyol, Portugal dan negara-negara Scandinavia - Norway, Sweden dan Finland. Beberapa pakej pelancongan di kepulauan peranginan seperti di Jepun, Korea dan Maldives turut akan diperkenal.

Selain itu juga, kita bersyukur kerana pada 2018 juga, TH Travel dijangka bakal dilantik sebagai pengendali sajian jemaah Haji Muassasah Malaysia semasa musim haji.

Apakah kelebihan ditawarkan TH Travel berbanding agensi lain?

Lima kelebihan ditawarkan TH Travel berbanding agensi lain iaitu:

1. Keyakinan- Dalam aspek mendapatkan visa umrah atau haji serta pengurusan penerbangan, Alhamdulillah setakat ini belum ada jemaah yang terkandas.

2. Keselamatan - Para jemaah tidak perlu bimbang kerana TH Travel mempunyai lebih 20 petugas tetap di Tanah Suci yang ditugaskan memantau keselamatan jemaah sepanjang berada di sana. Kami juga mempunyai pejabat tetap di Jeddah.

3. Kualiti - Hotel yang disediakan adalah bertaraf empat hingga lima bintang, manakala sajian makanan pula adalah mengikut cita rasa Malaysia dan antarabangsa.

4. Ibadah - TH Travel menyediakan kursus umrah dan haji percuma kepada jemaah sebelum ke Tanah Suci. Manakala, semasa di Tanah Suci pula, TH Travel memperuntuk seorang mutawwif atau pembimbing umrah bagi membantu jemaah dalam soal ibadat dalam setiap bas.

5. Harga - Pakej-pakej yang disediakan sangat kompetitif dari segi harga dan mampu dibeli oleh semua lapisan umat Islam.

Sebagai institusi perniagaan, apakah sasaran TH Travel sepanjang tahun 2018?

Kita menyasarkan untuk meningkatkan bilangan jemaah yang mengambil pakej haji dan umrah bersama TH Travel. Bagi jemaah haji kita sasarkan seramai 1,800 jemaah, manakala bagi umrah pula, dijangka seramai 30,000 jemaah pada 2018.

Di samping itu kita juga merancang untuk mengadakan perniagaan produk pemakanan dan akan meneroka pasaran di negara-negara Timur Tengah dan China.

Dalam aspek pelancongan pula, TH Travel bakal memberi penekanan dan fokus kepada pelancongan dalam negeri dan ‘inbound tours’ di mana sasaran kita adalah pasaran pelancong dari China, India dan Timur Tengah.

Kes penipuan umrah dan haji sering kali dilaporkan berlaku, apakah nasihat kepada jemaah yang ingin menunaikan haji atau umrah dalam memilih agensi tertentu?

Pertama, pilihlah agensi-agensi yang berpengalaman dan sudah terbukti kebolehannya. Semak rekod dan prestasi serta kualiti perkhidmatannya sebelum ini.

Keduanya, lihat latar belakang agensi berkenaan, sama ada mempunyai lesen bagi mengendalikan umrah atau tidak, dan elakkan daripada berurus niaga dengan orang tengah atau ejen-ejen persendirian.

Melihat keadaan ekonomi semasa, 2018 dijangka merupakan tahun yang mencabar, apakah persediaan dalam memperkasa hala tuju TH Travel?

Berteraskan prinsip 3K iaitu Keyakinan, Kemudahan dan Keselesaan, kami bertekad untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik agar perjalanan ibadah atau percutian jemaah yang mengambil pakej bersama TH Travel sentiasa terjamin tenang, selesa dan selamat.

Bertepatan juga dengan moto TH Travel iaitu ‘Kualiti Tanpa Tandingan’, kita juga akan sentiasa berusaha memastikan perkhidmatan ditawarkan agar kompeten dan berdaya saing.

Ini terbukti selepas lebih 45 tahun beroperasi, peserta TH Travel kebanyakannya adalah pelanggan berulang iaitu mereka yang pernah mengambil pakej bersama kita sama ada umrah, haji atau pelancongan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/agama/th-travel-bakal-perkenal-pakej-ekonomi-1.579734#ixzz5Q6DktxNo © Utusan Melayu (M) Bhd 

Artikel Oleh : Mohd. Shah Che Ahmad

Sumber : http://www.utusan.com.my/rencana/agama/th-travel-bakal-perkenal-pakej-ekonomi-1.579734

Tarikh : 26 Disember 2017

Tawaran & Diskaun
Sila gunakan pelayar Google Chrome untuk paparan laman sesawang yang lebih baik.