Menyingkap Komuniti Muslim Vietnam

SUNGGUHPUN umat Islam di Vietnam tidak seramai golongan Muslim di Malaysia, namun mereka masih boleh hidup aman damai di tengah-tengah masyarakat bukan Islam.

Bandaraya Ho Chi Minh berbeza dengan Kuala Lumpur kerana sebahagian besar penduduknya bukan Islam.

Umat Islam di negara ini harus bersyukur kerana masyarakat kita majoritinya adalah Islam berbanding masyarakat Islam di Vietnam hanyalah minoriti yang kurang dari segi kebebasan dan pembelaan.

TH Travel And Services (THTS) mengadakan lawatan ke bandaraya bersejarah Ho Chi Minh, baru-baru ini dalam usaha mendekati komuniti Islam di sana.

Bandaraya berkenaan yang mempunyai penduduk hampir lapan juta dalam kawasan seluas 2,095 kilometer persegi.

Ketika lawatan dilakukan, cuaca kota raya itu berada dalam bacaan suhu 23 darjah Celcius (C) hingga 34 darjah (C) yang hampir sama dengan cuaca di Malaysia.

Suatu perkara menarik perhatian di bandar raya berkenaan ialah kehadiran banyak motosikal. Persinggahan mereka pada hari kedua adalah menunaikan Solat Zohor dan Asar secara jamak dan qasar di Masjid Al Rahim yang diasaskan pada 1885.

Jaraknya satu kilometer dari pusat bandar Ho Chi Minh. Imam Ally berketurunan Indonesia menyambut kedatangan rombongan mereka.     

Katanya yang  mewakil komuniti Islam Bandar raya Ho Chi Minh, masjid ini dibangunkan melalui sumbangan rakyat Malaysia dan Indonesia. Di sekitar masjid turut menyediakan kedai makanan halal. Persinggahan singkat tetapi amat bererti dengan sambutan mesra  imam berkenaan, membuktikan Islam masih diamalkan komuniti Islam di Vietnam.

Bandar raya bersih Pegawai pengiring THTS, Akmal Abdul Rahim, berkata, walaupun kota raya itu tidak banyak bangunan pencakar langit seperti di Kuala Lumpur, namun rombongan terbabit kagum dengan kebersihan bandar rayanya, di samping pokok-pokok memenuhi kawasan bandar bagaikan berada dalam taman.

Antara tempat paling menarik ialah Cu Chi Tunnel, Kapal Cruise, Water Puppet, Pejabat Pos dan Sungai Mekong.

Cu Chi Tunnel atau dalam bahasa Melayunya Terowong Ku Chi adalah kubu tentera Vietnam melawan Amerika yang terletak di bawah tanah dan dilengkapi  peralatan canggih.

Terowong bawah tanah ini dilengkapi bengkel, hospital, dapur dan bilik mesyuarat.

“Turut dipaparkan bagaimana peralatan seperti jerangkap samar, senjata yang dibuat oleh pihak Vietnam menggunakan bahan kitar semula seperti bekas peluru berpandu dan besi kereta perisai.

“Dalam versi filem Rambo kehebatan heronya melawan tentera Vietnam banyak ditonjolkan, namun hakikatnya tentera Vietnam yang berjaya melumpuhkan tentera Amerika," katanya.

Akmal berfikir sesuatu apabila sampai di Sungai Mekong yang seakan-akan sama dengan Malaysia. Sebagai contoh katanya, ladang madu, kebun mangga dan rambutan yang mereka promosikan produk berkenaan dalam bentuk lebih menarik.  

Menurutnya, di sekitar Sungai Perak pun ada produk pelancongan yang lebih menarik seperti Pusat Penternakan Tuntung tetapi tidak dimanfaatkan dengan sewajarnya.

Beliau berkata, sepanjang berada di sana rombongan terbabit menikmati makanan ala  Malaysia yang diuruskan THTS dengan restoran milik orang Malaysia seperti Restoran Sri Pinang, Kampung Melayu, The Daun dan Mekong Halal Restoran.

Lawatan berkenaan yang diuruskan THTS menerusi pakej merangkumi penerbangan pergi dan balik menggunakan Malaysia Airlines (MAS) Kuala Lumpur-Ho Chi Minh, pengangkutan sepanjang berada di Ho Chi Minh dan menjamu selera sebanyak tiga kali sehari di restoran halal.

Rombongan seramai 30 orang yang sebahagian besarnya dari Sitiawan, Perak menyertai pakej berkenaan berharga RM1,590.

Akmal berkata, perjalanan bertambah menarik dengan baik kerana pemandu pelancong yang disediakan fasih berbahasa Melayu.

Jika dibandingkan dengan Malaysia, tempat-tempat menarik di Ho Chi Minh boleh dinikmati dan diadakan di tempat sendiri.

Pengalaman menyusuri Sungai Mekong menaiki sampan sukar dilupakan dan keadaannya mirip dengan Sungai Dinding di Lumut, Perak. Dengan sedikit kreativiti dan inovasi ia berpotensi untuk dijadikan produk pelancongan.

Namun, keindahan Sungai Mekong tidak dapat disangkal kerana ia begitu bersih dengan pokok kayu bakau yang terpelihara.   

Begitu juga di persisiran Sungai Perak, terdapat santuari penyu di Bota Kanan dan Muzium Pasir Salak yang boleh dinaiktaraf di samping diolah menjadi salah satu lokasi pelancongan seperti Vietnam.

Bandaraya Ho Chin Minh menjadi tempat pilihan kunjungan kami kerana tertarik dengan iklan dalam rancangan TV tempatan di Malaysia, surat khabar dan kisah-kisah Rambo mengenai Vietnam.

Barangan di sana sesuai dibeli dan murah harganya termasuklah hasil kraf tangan dan kain pasang.


Artikel Oleh : AZMI ABDUL MALEK (PEMBACA SINAR HARIAN DARI PERAK)

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/politik/menyingkap-komuniti-muslim-vietnam-1.268717

Tarikh : 9 April 2014

Tawaran & Diskaun
Sila gunakan pelayar Google Chrome untuk paparan laman sesawang yang lebih baik.